SEJARAH SMA REMBAU
Di lokasi baru ini , bangunan satu tingkatan telah
dibina serta menempatkan beberapa buah bilik seperti bilik pentadbiran,
perpustakaan dan bilik darjah dari sekitar tahun 60an sehingga tahun 1996.
Rentetan daripada pembukaan bangunan sekolah di tapak yang baru, sebuah Lembaga
Pentadbir sekolah telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ustaz Nasir bin Hj.
Md. Aji pada ketika itu. Sebagai permulaan, sekolah ini hanya menawarkan satu
aliran mata pelajaran sahaja iaitu Bahasa Arab dan tidak menawarkan mata
pelajaran akademik. Kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini adalah secara
formal dan diajar dalam bahasa Arabin Pada peringkat penubuhannya, kebanyakan
pelajar sekolah ini terdiri daripada pelajar yang gagal dalam Lower Certificate
Examination (LCE) dan mereka yang berminat untuk mendalami pengajian agama. Di
samping itu, pihak sekolah turut menawarkan Sijil Menengah Rendah Agama yang
mana ianya akan melayakkan para pelajar melanjutkan pelajaran ke Sekolah
Menengah Agama Tinggi.
Setelah 25 tahun beroperasi, pihak Lembaga Pentadbir
sekolah dengan kerjasama Allahyarham Dato’ Hj. Mahzan bin Hj. Hamzah (bekas
ADUN Chembong) telah mengasaskan penubuhan asrama sekolah untuk kemudahan para
pelajar dari luar daerah Rembau. Kebanyakan daripada mereka berasal dari
kawasan Felda Gemas, Palong dan Pasir Besar dan sekitar daerah Kuala Pilah.
Sekitar tahun 1984, hanya terdapat seorang pelajar lelaki yang menghuni asrama
yang bertempat di bilik darjah dan kini dijadikan sebagai Bengkel ERT. Manakala
pelajar perempuan ditempatkan bersebelah rumah warden dan sebahagiannya
menumpang di rumah penduduk berhampiran yang dikenali sebagai Puan Aminah.
Setahun kemudian, pihak Lembaga Pentadbir sekolah telah bersetuju untuk membina
dua buah bangunan baru sebagai asrama putera dan asrama puteri. Pada ketika
itu, surau terletak di bilik bersebelahan asrama putera.
Sekitar penghujung tahun 1990an, Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam telah menyalurkan bantuan kewangan kepada pihak sekolah untuk
membina sebuah bangunan dua tingkat sebagai penempatan baru bangunan sekolah.
Penghujung tahun 1997, bangunan dua tingkat ini mula digunakan dengan
menempatkan bahagian pentadbiran sekolah di aras satu dan Pusat Sumber Sekolah
di aras dua bangunan ini.
Pembangunan fizikal sekolah semakin lengkap dengan
pembinaan Asrama Pelajar Perempuan yang memuatkan seramai 120 penghuni dan mula
diduduki awal tahun 2010. Pada tahun 2016 pula, surau baru siap untuk digunakan
dan boleh menampung tidak kurang 300 pelajar dalam satu masa. Sebelum itu, pada
tahun 2015 bangunan satu blok 2 tingkat yang mengandungi 6 kelas mula dibina
dan mula digunakan awal tahun 2017. Prasarana yang kondusif telah membolehkan
sekolah ini cemerlang dari aspek
akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan